Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat kalian semua..semoga kalian semua sentiasa diberkati dan diredhai Allah SWT sentiasa..InsyaAllah..pada hari ini, nurul ingin berkongsi dengan kalian semua topik yang jarang diperkatakan..LIDAH..kenapa lidah??sama-samalah kita mengambil iktibar..
- Lidah adalah anggota penting yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap manusia..
- Lidah juga adalah daging yang lembut terletak di dalam mulut manusia..
- Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh mendatangkan dua akibat yang besar ke atas manusia iaitu samada membawanya ke syurga mahu pun ke neraka..
- Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalahgunakan akan membawa seseorang itu ke neraka..
- Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan kepada sahabat bahawa dua anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.
Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam”. (Hadis Riwayat Muttafaq ‘alaih)
Seterusnya, Rasulullah SAW ada berpesan kepada Sayyidina Ali yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)”.
- Terdapat 15 bahaya yang timbul akibat ucapan (lidah) yang membawa pelakunya ke neraka, perkara tersebut adalah seperti berikut :
1) Berbicara akan sesuatu yang tidak perlu.
Kita hendaklah menahan lidah daripada mengucapkan perkataan yang tidak berfaedah dan boleh mendatangkan dosa. Lidah perlu dibasahkan dengan zikir kepada Allah SWT.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Sebahagian daripada bukti keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah”. (Hadis Riwayat Muttafaq ‘alaih)
2) Terdorong mengucapkan perkara yang batil (dosa).
Manusia pada hari ini gemar bermegah-megah dan menceritakan pada orang lain akan perbuatan maksiat yang dilakukannya. Selain itu, termasuk juga yang suka berbantah-bantahan dengan orang alim dan tidak mahu menerima teguran dan mempertahankan pendapatnya yang jahil.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya :
“Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka perbantahan dan permusuhan”.
3) Bercakap membuta tuli.
Nabi Muhammad SAW telah menyatakan bahawa orang yang paling dibenci dan jauh tempatnya dari baginda pada hari kiamat nanti, ialah orang yang banyak bercakap tapi tidak tentu arah kerana tidak berfikir sebelum bercakap serta mengeluarkan kata-kata yang tidak didasari ilmu disebabkan kejahilannya.
4) Memaki hamun dan cakap kotor
Jauhilah sikap suka memaki hamun dan bercakap hal-hal kotor kerana ianya dibenci oleh Allah SWT. Jika pada hari ini, sesama Islam gemar memaki hamun antara satu sama lain hingga ke tahap mengkafirkan saudaranya.
Nabi Muhammad yang SAW bersabda maksudnya :
” Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji dan bercakap kotor”.
Seterusnya, Nabi Muhammad SAW ada berpesan kepada Sayidina Ali yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri.
5) Nyanyian
Nyanyian yang dimaksudkan di sini adalah nyanyian yang melekakan daripada mengingati Allah SWT. Senikata lagunya membenarkan perbuatan maksiat. Penyanyinya pula seorang wanita yang mendedahkan aurat, berhias (tabaruj), menggunakan suara yang merdu dan mempersonakan.
Nabi SAW telah memperingatkannya melalui sebuah hadis yang bermaksud :
“Nyanyian akan menumbuhkan kemunafikan (nifiq) di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur-sayuran”. (Hadis Riwayat Baihaqi dan Ibnu Abu Dunya)
Tetapi sekiranya nyanyian tersebut berunsur dakwah, tidak melalaikan kewajipan, tidak menghalalkan yang haram dan nyanyian itu dilakukan oleh lelaki atau mahram kaum lelaki dan tidak nyaring serta tidak diiringi dengan sesuatu yang haram.
6) Bergurau
Dalam hal bergurau pula, tidak berdosa selagi gurauan itu tidak melampau batas, kerana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bergurau tapi tidak pernah terkeluar daripada memperkatakan yang benar. Itu pun jarang dilakukan Nabi.
Pada umumnya , banyak bergurau akan mengurangkan ketenangan dan boleh menumbuhkan kedengkian, tapi gurauan yang sedikit atau sekadar menghilangkan kebosanan, tidak mengapa.
7) Mengejek atau memperolok-olokkan orang lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan (ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat ayat 11)
8) Menyebarkan fitnah, sumpah palsu, berdusta dan berbohong.
Sumpah palsu termasuk perbuatan yang mendapatkan azab besar. Seterusnya, dalam suatu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah disebutkan bahawa sumpah palsu termasuk di antara perbuatan yang berdosa besar (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Sayyidina Ali yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu di dunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari.”
Bercakap tidak benar ini mendatangkan bahayanya. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya :
“Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
9) Tidak mengambil undang-undang Allah SWT dalam memutuskan sesuatu perkara.
Bagi golongan manusia yang mengunakan lidah-lidah mereka untuk menggubal, bersetuju dan membahaskan dan meluluskan rang undang-undang ciptaan manusia walaupun bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah dan berhukum dengan hukuman yang dicipta oleh manusia sebenarnya golongan ini meletakkan Allah dan Rasul-Nya di belakangnya. Al-Quran melabelkan golongan ini sebagai kafir, zalim atau fasik.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir” (Surah al-Maidah ayat 44)
10) Mengumpat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
” Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, “Allah dan Rasul yang lebih mengetahui.”
Maka Rasulullah SAW. bersabda “Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah.” Lalu Rasulullah SAW ditanya lagi. ” Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? “ Maka jawab Rasulullah SAW “Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).
- ghaibah = benar, buhtan = tidak benar
11) Mengadu domba (menghasut).
Perbuatan mengadu domba ini sangat dahsyat kesannnya kerana sekiranya apa yang diadukan tidak benar, maka bahaya yang buruk akan terjadi seperti perpecahan umat Islam serta saling benci-membenci.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : ” Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba.”
Nabi Muhammad S.A.W turut berwasiat kepada Sayidina Ali :
“Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi “Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut).”
12) Lidah bercabang dua
Maksud lidah bercabang dua adalah seorang yang berulang alik di antara dua orang yang bermusuhan, untuk menyampaikan ucapan salah seorang daripada mereka kepada yang seorang lagi. Tujuannya adalah supaya dia disanjung oleh kedua-dua pihak dan untuk dia mendapat habuan dunia serta supaya kedua-dua pihak sentiasa bermusuhan.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : “Manusia paling jahat ialah si dua muka, apabila ia mendatangi kelompok manusia maka ia membawa muka yang satu, dan apabila ia datangi kelompok manusia yang lain maka ia membawa muka yang satu lagi.”
13) Memuji
Perihal memuji orang lain juga termasuk bahaya yang timbul daripada lidah. Hal ni dikatakan berbahaya kerana memuji seseorang yang tidak sepatutnya menerima pujian itu atau pujian yang berlebihan yang tidak sesuai dengan hal yang sebenarnya sehingga jatuh kepada dusta atau memuji orang yang sepatutnya dicela.
Suatu pujian sering membuat orang yang menerimanya berasa besar diri dan ujub sedangkan Nabi Muhammad SAW melarang demikian.
14) Bersumpah setia kepada selain Allah.
Allah SWT telah menerangkan di dalam Al-Quran bahawa kita tidak boleh bersumpah setia kepada sesuatu sebagai tandingan bagi keagungan atau kebesaran Allah. Sumpah setia seperti itu boleh menjerumuskan orang berkenaan ke dalam neraka.
15) Jangan berkata “kalau” pada kejadian yang telah berlaku.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”.
Ini kerana perkataan “kalau” membuka pintu perbuatan syaitan.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim). Berkalau ini sebenarnya seolah-olah menyesali apa yang telah ditakdirkan Allah SWT.
Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lidah kita supaya sentiasa bercakap benar dan janganlah kita menyimpang daripada jalan Allah SWT.
Allah SWT sentiasa bersifat benar, begitu juga para Rasul bersifat sidiq. Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.
Apabila kebenaran diabaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan lidahnya sentiasa buat pendustaan amalan kehidupan seharian. Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan umat manusia.
Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas, jujur dan dedikasi. Benar pada niat, kemahuan fikiran dan tindakan dan benar dalam berkata-kata. Renung, renungkanlah…
~~semoga bermanfaat..Assalamualaikum wbt~~
kerana mulut badan binasa.:)
ReplyDeletebetul tu~~
Delete