Followers

~~JAGALAH LIDAH!!!~~

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat kalian semua..semoga kalian semua sentiasa diberkati dan diredhai Allah SWT sentiasa..InsyaAllah..pada hari ini, nurul ingin berkongsi dengan kalian semua topik yang jarang diperkatakan..LIDAH..kenapa lidah??sama-samalah kita mengambil iktibar..


- Lidah adalah anggota penting yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap manusia..
- Lidah juga adalah daging yang lembut terletak di dalam mulut manusia..
- Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh mendatangkan dua akibat yang besar ke atas manusia iaitu samada membawanya ke syurga mahu pun ke neraka..
- Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya  ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalahgunakan akan membawa seseorang itu ke neraka..
- Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan kepada sahabat bahawa dua anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam”. (Hadis Riwayat Muttafaq ‘alaih)
Seterusnya, Rasulullah SAW  ada  berpesan kepada Sayyidina Ali  yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)”.
- Terdapat 15 bahaya yang timbul akibat ucapan (lidah) yang membawa pelakunya ke neraka, perkara tersebut adalah seperti berikut : 

1)  Berbicara akan sesuatu yang tidak perlu.
Kita hendaklah menahan lidah daripada mengucapkan perkataan yang tidak berfaedah dan boleh mendatangkan dosa. Lidah perlu dibasahkan dengan zikir kepada Allah SWT
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Sebahagian daripada bukti keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah”. (Hadis Riwayat Muttafaq ‘alaih)

2)   Terdorong mengucapkan perkara yang batil (dosa).
Manusia pada hari ini gemar bermegah-megah dan menceritakan pada orang lain akan perbuatan maksiat yang dilakukannya.  Selain itu, termasuk juga yang suka berbantah-bantahan dengan orang alim dan tidak mahu menerima teguran dan mempertahankan pendapatnya yang  jahil.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya :
“Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka perbantahan dan permusuhan”.
3) Bercakap membuta tuli.
Nabi Muhammad SAW telah menyatakan bahawa orang yang paling dibenci dan jauh tempatnya dari baginda pada hari kiamat nanti, ialah orang yang banyak bercakap tapi tidak tentu arah kerana  tidak berfikir sebelum bercakap serta mengeluarkan kata-kata yang tidak didasari ilmu disebabkan kejahilannya.

4) Memaki hamun dan cakap kotor
Jauhilah sikap suka memaki hamun dan bercakap hal-hal kotor kerana ianya dibenci oleh Allah SWT.  Jika pada hari ini, sesama Islam gemar memaki hamun antara satu sama lain hingga ke tahap mengkafirkan saudaranya.
Nabi Muhammad yang SAW bersabda maksudnya :
” Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji dan bercakap kotor”.
Seterusnya, Nabi Muhammad SAW  ada berpesan kepada Sayidina Ali  yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri.
5) Nyanyian
Nyanyian yang dimaksudkan di sini adalah nyanyian yang melekakan daripada mengingati Allah SWT.  Senikata lagunya membenarkan perbuatan maksiat. Penyanyinya pula seorang wanita yang mendedahkan aurat, berhias (tabaruj), menggunakan suara yang merdu dan mempersonakan.
Nabi SAW telah memperingatkannya melalui sebuah hadis yang bermaksud :
“Nyanyian akan menumbuhkan kemunafikan (nifiq) di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur-sayuran”. (Hadis Riwayat Baihaqi dan Ibnu Abu Dunya)
Tetapi sekiranya nyanyian tersebut berunsur dakwah, tidak melalaikan kewajipan, tidak menghalalkan yang haram dan nyanyian itu dilakukan oleh lelaki atau mahram kaum lelaki dan tidak nyaring serta tidak diiringi dengan sesuatu yang haram.

6) Bergurau
Dalam hal bergurau pula, tidak berdosa selagi gurauan itu tidak melampau batas, kerana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bergurau tapi tidak pernah terkeluar daripada memperkatakan yang benar. Itu pun jarang dilakukan Nabi.

Pada umumnya , banyak bergurau akan mengurangkan ketenangan dan boleh menumbuhkan kedengkian, tapi gurauan yang sedikit atau sekadar menghilangkan kebosanan, tidak mengapa.

7)  Mengejek atau memperolok-olokkan orang lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan (ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat ayat 11)
8)   Menyebarkan fitnah, sumpah palsu, berdusta dan berbohong.
Sumpah palsu termasuk perbuatan yang mendapatkan azab besar.  Seterusnya, dalam suatu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah disebutkan bahawa sumpah palsu termasuk di antara perbuatan yang berdosa besar (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu di dunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari.”
Bercakap tidak benar ini mendatangkan bahayanya.  Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya :
“Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
9)  Tidak mengambil undang-undang Allah SWT dalam memutuskan sesuatu perkara.
Bagi golongan manusia yang mengunakan lidah-lidah mereka untuk menggubal, bersetuju dan membahaskan dan meluluskan rang undang-undang ciptaan manusia walaupun bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah dan berhukum dengan hukuman yang dicipta oleh manusia sebenarnya golongan ini meletakkan Allah dan Rasul-Nya  di belakangnya. Al-Quran melabelkan golongan ini sebagai kafir, zalim atau fasik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir” (Surah al-Maidah ayat 44)

10) Mengumpat.
Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud  :
” Tahukah kamu apakah ghaibah?  Jawab sahabat, “Allah dan Rasul yang lebih mengetahui.”
Maka Rasulullah SAW. bersabda  “Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah.” Lalu Rasulullah SAW  ditanya lagi.  ” Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? “  Maka jawab Rasulullah SAW   “Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah.  Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).
 - ghaibah = benar, buhtan = tidak benar

11) Mengadu domba (menghasut).
Perbuatan mengadu domba ini sangat dahsyat kesannnya kerana sekiranya apa yang diadukan tidak benar, maka bahaya yang buruk akan terjadi seperti perpecahan umat Islam serta saling benci-membenci.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : ” Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba.”
Nabi Muhammad  S.A.W  turut berwasiat kepada Sayidina Ali :
“Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi “Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut).”
12)  Lidah bercabang dua
Maksud lidah bercabang dua adalah seorang yang berulang alik di antara  dua orang yang bermusuhan, untuk menyampaikan ucapan salah seorang daripada mereka kepada yang seorang lagi. Tujuannya adalah supaya dia disanjung oleh kedua-dua pihak dan untuk dia mendapat habuan dunia serta supaya kedua-dua pihak sentiasa bermusuhan.
Nabi  Muhammad SAW bersabda maksudnya : “Manusia paling jahat ialah si dua muka, apabila ia mendatangi kelompok  manusia maka ia membawa muka yang satu, dan apabila ia datangi kelompok manusia yang lain maka ia membawa muka yang satu lagi.”
13) Memuji
Perihal memuji orang lain juga termasuk bahaya yang timbul daripada lidah. Hal ni dikatakan berbahaya kerana memuji seseorang yang tidak sepatutnya menerima pujian itu atau pujian yang berlebihan yang tidak sesuai dengan hal yang sebenarnya sehingga jatuh kepada dusta atau memuji orang yang sepatutnya dicela.

Suatu pujian sering membuat orang yang menerimanya berasa besar diri dan ujub sedangkan Nabi Muhammad SAW melarang demikian.

14) Bersumpah setia kepada selain Allah.
Allah SWT telah menerangkan di dalam Al-Quran bahawa kita tidak boleh bersumpah setia kepada sesuatu sebagai tandingan bagi keagungan atau kebesaran Allah.  Sumpah setia seperti itu boleh menjerumuskan orang berkenaan ke dalam neraka.

15)  Jangan berkata “kalau” pada kejadian yang telah berlaku.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud  :
“Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah:  “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”.
Ini kerana perkataan “kalau” membuka pintu perbuatan syaitan.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).  Berkalau ini sebenarnya seolah-olah menyesali apa yang telah ditakdirkan Allah SWT.

Oleh itu, sama-samalah  kita menjaga lidah kita supaya sentiasa bercakap benar dan janganlah kita menyimpang daripada jalan Allah SWT.

Allah SWT  sentiasa bersifat benar, begitu juga para Rasul bersifat sidiq. Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.

Apabila kebenaran diabaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan lidahnya sentiasa buat pendustaan amalan kehidupan seharian. Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan umat manusia. 

Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas, jujur dan dedikasi.   Benar pada niat,  kemahuan fikiran dan tindakan dan benar dalam berkata-kata.  Renung, renungkanlah…

~~semoga bermanfaat..Assalamualaikum wbt~~


~~MUKJIZAT NABI MUHAMMAD SAW~~

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat kalian semua.. pada hari ini, nurul ingin memohon sedikit daripada masa kalian untuk membaca kisah yang bagi nurul sangat menarik ini.. entry ini berkaitan dengan idola seluruh umat Islam, pemimpin dan kekasih Allah SWT..tak lain dan tak bukan Nabi Muhammad SAW.. selawat ke atas Nabi serta para sahabat baginda..semoga entry ini bermanfaat dan dapat menambahkan lagi rasa cinta kita kepada rasul junjungan mulia ini..


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam  ialah pesuruh Allah SWT yang terakhir.  Baginda dilantik oleh Allah Ta’ala sebagai  pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia ini. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar..

Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang Rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT..

Mukjizat Nabi Muhammad SAW

Mukjizat Nabi Muhammad  adalah  kemampuan luar biasa yang diberikan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk membuktikan kenabiannya.  Dalam Islam , mukjizat terjadi hanya kerana izin Allah.  Antara mukjizat Nabi Muhammad adalah Isra’ dan Mi’raj.  Selain itu,  Nabi Muhammad SAW  juga pernah membelah bulan pada masa penyebaran Islam di Mekah, menerima wahyu dari Allah SWT dan sebagainya..
Irhas  (Petanda)

Dalam Islam banyak menceritakan bahawa pada masa kelahiran dan masa sebelum kenabian, Nabi Muhammad SAW sudah diliputi banyak irhasat atau pun petanda.
Nabi Muhammad dilahirkan pada 22 April 570M dalam kalangan keluarga bangsawan Arab, iaitu Bani Hasyim.  Ibnu Hisyam, dalam Sirah Nabawiyah menuliskan Nabi Muhammad memperoleh namanya daripada mimpi ibunya,  Aminah binti Wahab ketika mengandungkannya.
Aminah memperoleh mimpi bahawa beliau akan melahirkan “pemimpin umat”.  Mimpi itu juga yang menyuruhnya mengucapkan, “Aku meletakkan dirinya dalam lindungan Yang Maha Esa dari segala kejahatan dan pendengki.” Kisah Aminah dan Abdul Muthalib juga menunjukkan bahawa sejak kecil Muhammad adalah anak yang luar biasa.
Berikut ini adalah irhasat yang terjadi pada saat sebelum, sesudah kelahiran dan masa kecil  Nabi Muhammad :
Sebelum dan Sesudah Kelahiran Nabi Muhammad SAW
  • Aminah binti Wahab , ibu Nabi Muhammad pada saat mengandung Rasulullah tidak pernah merasa lelah seperti wanita-wanita lain pada umumnya,
  •  Raja Khosrow ( Empayar Sassanid dari Parsi) dan para pendita Majusi bermimpi yang menakutkan.
  • Dinding istana Raja Khosrow tiba-tiba retak dan empat belas menara Dewan Empayarnya runtuh.
  • Padamnya api yang disembah penganut agama Majusi secara tiba-tiba yakni api yang telah disembah bertahun-tahun lamanya.
  • Terjadinya gempa yang merobohkan tempat ibadah di sekitar kerajaan Rum.
  • Tasik mulai mengering.
  • Saat melahirkan Nabi Muhammad, Aminah binti Wahab tidak merasa sakit seperti wanita-wanita lain.
  • Nabi Muhammad dilahirkan dalam keadaan sudah berkhatan .
  • Lahir dengan tali pusat juga sudah terputus.
Nabi Muhammad SAW Ketika Kanak-kanak
  • Halimah binti Abi-Dhua’ib , ibu susuan Nabi Muhammad dapat menyusui kembali padahal sebelumnya air susunya telah pun kering.  Selama dengan Halimah, Nabi Muhammad hidup secara nomad bersama Bani Saad di gurun Arab selama empat tahun.
  • Ternakan kambing Halimah menjadi gemuk-gemuk dan susunya pun bertambah,
  • Pada usia baginda 5 bulan baginda sudah pandai berjalan, pada usianya 9 bulan pula baginda  sudah mampu bercakap dan pada usia 2 tahun, baginda sudah mampu bersama anak-anak Halimah yang lain untuk menggembala kambing.
  • Abdul Muthalib , datuk Nabi Muhammad menuturkan bahawa berhala yang ada di Kaabah tiba-tiba terjatuh dalam keadaan bersujud saat kelahiran Muhammad.
Ketika Nabi Muhammad berusia empat tahun,  baginda pernah dibedah perutnya oleh  malaikat. Sirah Nabawiyyah    memberikan gambaran bahawa malaikat “membelah dadanya, mengambil jantungnya, dan membukanya untuk mengelurkan darah kotor darinya. Lalu malaikat mencuci jantung dan dadanya dengan salji.”  Peristiwa yang sama turut berulang 50 tahun kemudian ketika Nabi Muhammad di Isra’kan ke Baitulmuqaddis lalu ke Sidratul Muntaha dari Mekah.
Nabi Muhammad Ketika Remaja
  • Pendeta Bahira mengatakan bahawa beliau melihat tanda-tanda kenabian pada diri Nabi Muhammad. Menurutnya, Nabi Muhammad ketika itu berusia 12 tahun sedang berehat di wilayah Bushra dari perjalanannya untuk berdagang bersama Abu Talib ke Syiria. Pendeta Bahira itu menceritakan bahawa kedatangan Nabi Muhammad saat itu diiringi dengan gumpalan awan yang menutupinya dari cahaya matahari.
  • Tanah yang dilalui oleh unta Nabi Muhammad dipendekkan jaraknya oleh Jibril AS, sebelah sisi kanan dijaga oleh Israfil dan sisi kirinya dijaga oleh Mikail kemudian mendung menaunginya.
  • Mukjizat
    Berikut adalah mukjizat-mukjizat yang diperoleh ketika Nabi Muhammad telah menerima wahyu ketika ia berusia 40 tahun.
    Kelebihan Nabi Muhammad SAW
    • Dapat melihat dengan jelas dalam keadaan gelap.
    • Wajah Nabi Muhammad memancarkan cahaya dikegelapan pada waktu sahur.
    • Dua orang sahabat Nabi Muhammad dibimbing oleh dua cahaya, setelah bertemu dengan baginda.
    • Peluh yang keluar dari tubuh Nabi Muhammad mengeluarkan bau harum, jika Nabi Muhammad berjabat tangan dengan seseorang maka aroma harum itu akan meninggalkan kesan selama beberapa hari di tangan orang tersebut.
    • Tubuh Muhammad memancarkan petir ketika hendak dibunuh oleh Syaibah bin ‘Utsman pada Perang Hunain.
    • Nabi Muhammad yang sanggup menghancurkan batu besar dengan tiga kali pukulan, ketika menjelang Perang Khandaq, padahal ketika itu Nabi Muhammad belum makan selama 3 hari.

  • Karisma dan Kewibawaan Baginda
    • Renungan mata baginda Nabi Muhammad membuatkan Umar bin Al-Khattab dan Abu Jahm lari lintang-pukang, ketika mereka merancang untuk membunuh Nabi Muhammad pada malam hari.
    • Renungan mata baginda juga  menggetarkan hati Ghaurats bin Harits, iaitu seorang musuh yang pernah menghunus pedang ke arah  leher Muhammad.
    • Menjadikan tangan Abu Jahal kaku tidak bergerak.
    • Jin yang bernama Muhayr bin Habbar membantu dakwah Muhammad, kemudian jin itu diganti namanya oleh Nabi Muhammad menjadi Abdullah bin Abhar.

    Mukjizat Nabi Muhammad Berkaitan Fenomena Alam
    • Menghentikan gempa yang terjadi di Makkah dan Madinah, dengan cara menghentakkan kakinya dan memerintahkan bukit supaya tenang.
    • Menurunkan hujan dan meredakan banjir saat musim kemarau pada tahun 6 Hijriah di Madinah yang ketika itu mengalami musim kemarau .
    • Berbicara dengan gunung untuk mengeluarkan air bagi Uqa’il bin Abi Thalib yang kehausan.
    • Menahan matahari daripada terbenam.
    • Membelah bulan dua kali untuk membuktikan kenabiannya kepada penduduk Mekah.
    • Bumi menelan seorang Quraisy yang hendak membunuh Nabi Muhammad dan sahabat baginda Abu Bakar pada saat hijrah.

    Mukjizat Berkaitan Makanan dan Minuman

    • Paha kambing yang telah diracuni berbicara kepada Nabi Muhammad setelah terjadi Perang Khaibar.
    • Makanan yang dimakan oleh Nabi Muhammad mengagungkan nama Allah .
    • Makanan sedikit yang boleh dimakan sebanyak 800 orang pada Perang Khandaq.
    • Roti sedikit cukup untuk orang yang ramai.
    • Sepotong hati kambing cukup untuk 130 orang.
    • Makanan yang dimakan tidak berkurang  tetapi bertambah tiga kali ganda.
    • Menjadikan beras merah sebanyak setengah kwintal yang diberikan kepada orang Badwi Arab tetap tidak berkurang selama berhari-hari.
    • Ikan al Anbar menjadi hidangan bagi 300 pasukan perang Nabi Muhammad.
    • Air memancar dari celah-celah jari baginda.  Kemudian air itu digunakan untuk berwudhuk oleh 300 orang sahabat hanya dengan semangkuk air.
    • Bekas selalu penuh dengan air, walau sudah dituangkan hingga habis.
    • Mengeluarkan air dari telaga yang ada di tengah-tengah gurun pasir, ketika Khalid bin Walid pada saat itu masih menjadi musuhnya.
    • Mengeluarkan mata air baru untuk bapa saudaranya Abu Talib yang sedang kehausan.
    • Semangkuk susu yang boleh dibahagi-bahagikan kepada beberapa orang-orang Shuffah, Abu Hurairah dan Nabi Muhammad.
    • Susu dan kencing unta boleh menyembuhkan penyakit orang Urainah.
    Begitulah Allah SWT memelihara Nabi Muhammad SAW.

    Menghidupkan Orang Mati
    • Menghidupkan anak perempuan yang telah mati lama dikuburannya.

  • Hal  Ghaib dan Rukyah

    • Mendapatkan bantuan dari Malaikat Jundallah ketika dalam Perang Badar .
    • Mengetahui kejadian yang tidak dilihat olehnya.
    • Mengetahui apa yang telah terjadi, sedang terjadi, yang akan terjadi.
    • Dapat melihat dan mendengar apa yang ada di langit dan di bumi.
    • Dapat mengetahui isi hati sahabat dan lawannya.
    • Mengetahui yang apa terjadi di dalam kubur.
    • Mengetahui ada seorang Yahudi yang sedang diseksa dalam kuburnya .
    • Meramalkan Abdullah bin Abbas akan menjadi “bapa para khalifah “yang terbukti pada keturunah Abdullah bin Abbas yang menjadi raja-raja kekhalifahan Abbasiyah selama 500 tahun.
    • Meramalkan umatnya akan terpecah belah menjadi 73 golongan.

  • Mukjizat Terbesar Nabi Muhammad
    • Isra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa , lalu Mi’raj dari Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha, untuk menerima perintah solat dalam tempoh tidak sampai satu malam.
    • Menerima firman  Allah SWT melalui wahyu yang kemudian dijadikan naskah lengkap dengan nama Al-Qur’an .


    Ujian Kesakitan Pada Nabi Muhammad SAW

    Walaupun baginda dikurnaikan Allah SWT dengan pelbagai mukjizat namun baginda juga tetap mengalami kesakitan seperti manusia lain. Keadaan-keadaan yang dialami oleh Nabi Muhammad seperti terluka kerana pukulan, mata pedang, bahkan rasa sakit akibat demam atau pun sakit kepala turut dirasai oleh baginda.  Kesakitan baginda melebihi daripada manusia lain. Ketika sakit kepala yang kuat, baginda Nabi Muhammad SAW pernah membalut kepada dengan kain untuk mengurangkan kesakitan yang dialaminya.

    Dalam sejarah Islam,  beberapa kali Nabi Muhammad terluka dan mengalami kesakitan akibat peperangan dengan musuhnya, di antaranya ketika terjadinya Perang Uhud. Dalam keadaan yang sangat kritikal itu, ‘Utbah bin Abi Waqqash membaling ke arah Nabi Muhammad dengan batu sehingga baginda terjatuh, menyebabkan gigi dan bibir bawah mulut Nabi Muhammad terluka.
    Seterusnya, Abdullah bin Syihab Al Zuhry tiba-tiba mendekati Nabi Muhammad dan memukul hingga keningnya terluka, tidak hanya itu saja datang pula Abdullah bin Qami’ah seorang penunggang kuda mengayunkan pedang ke bahu Nabi Muhammad dengan pukulan yang keras,  walau bagaimana pun pukulan pedang itu tidak sampai menembus dan merosakkan baju besi yang dipakai oleh baginda.
    Marilah kita menanamkan rasa cinta dan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW kerana baginda ialah kekasih Allah SWT, penghulu segala Nabi-nabi dan Rasul yang wajib kita tinggikan darjatnya.  Jom…sering-seringlah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW..

~~take care~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...